PIBG
adalah satu penubuhan yang diceburi secara sukarela. AJK yang dipilih perlu
menitikberatkan ciri-ciri keikhlasan, pengorbanan masa, wang ringgit dan
tenaga. Fungsi PIBG ialah membantu sekolah dalam pelbagai aktiviti demi
kebaikan anak-anak yang belajar di sekolah tersebut. Selain dari itu juga PIBG
juga berperanan mencari sumbangan dari ahli dan orang ramai samada berbentuk
wang, material mahupun tenaga bagi faedah para pelajar. PIBG yang
ditubuhkan adalah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan
guru di sekolah yang berkenaan. Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat
membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk
meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah,
selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu
bapa, dan komuniti setempat.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG terhadap pencapaian akademik di
sekolah ialah membantu dan menambah sumber kewangan sekolah bagi menambah baik
dan meningkatkan kemudahan di sekolah iaitu dengan menubuhkan tabung pendidikan
yang bertujuan untuk kebajikan dan manfaat kepada sekolah dan para pelajar.
PIBG juga berperanan membantu dan menambah usaha sekolah untuk memenuhi
kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan kebendaan para pelajar dalam
kegiatan-kegiatan mereka seperti aktiviti kelas tambahan dengan memberi sumbangan
kewangan untuk membeli buku latihan atau buku kerja bagi meringankan beban
pelajar yang kurang berkemampuan.
Selain itu PIBG juga berperanan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dapat
menambahkan minat para pelajar untuk belajar dan mendapat keputusan yang
cemerlang dengan mengadakan program motivasi,seminar dan bengkel.Dengan adanya
program-program sebegini secara tidak langsung akan memberi kesedaran dan
semangat kepada para pelajar untuk belajar dan berjaya. PIBG juga berperanan
membantu pihak sekolah menangani pelajar bermasalah dengan bekerjasama
mengadakan program pemulihan akhlak,kem bina semangat dan sesi kaunseling yang
bertujuan memberi kesedaran, keinsafan dan semangat untuk belajar dan berjaya
dalam pelajaran. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah
disiplin di sekolah malah dapat meningkatkan prestasi akademik para pelajar.
Di
samping itu, PIBG juga berperanan sebagai entiti utama yang membolehkan
kelompok ibu bapa dan guru berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat
mengenai pendidikan semasa dan method untuk meningkatkan lagi prestasi akademik
dan kokurikulum pelajar iaitu dengan membuat pemantauan dari semasa ke semasa
di sekolah. Ia turut memberi peluang kepada ibu bapa dan guru untuk sama-sama
memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka Dengan itu sebarang masalah dan
kerumitan yang dihadapi dapat diatasi hasil dari perbincangan dan kerjasama
antara PIBG dengan pihak sekolah.
Kesimpulannya,memang
tidak dapat dinafikan peranan dan tanggungjawab PIBG di sesebuah sekolah
memberi kesan kepada kemajuan dan percapaian sekolah kerana persatuan berkenaan
menjadi medium untuk mencetuskan hala tuju dan matlamat sekolah ke arah
kecemerlangan pendidikan. PIBG juga turut membantu pihak sekolah dalam
pembangunan modal insan dengan memberi tumpuan kepada sistem nilai, aspek
disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar bagi melahirkan generasi
pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang dari segi jasmani, rohani,
emosi dan intelektual.
No comments:
Post a Comment